mutakhir

Buru 5 PATI lolos

Oleh Razik Zayad

POLIS Sabah kini giat memburu lima lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal, Kota Kinabalu, 1 Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, semua suspek berusia 30 hingga 62 tahun masih dijejaki dan polis percaya mereka masih berada di negeri ini.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang Isnin lalu itu, tujuh penghuni PTS terbabit dipercayai melarikan diri sebaik mengambil kesempatan daripada kelekaan pengawal bertugas di pusat berkenaan.

"Dua daripada tujuh suspek berjaya diberkas berhampiran lokasi pada hari yang sama manakala lima lagi lolos dari tempat kejadian.

"Susulan daripada insiden itu, polis kini giat menjalankan operasi bagi memburu semua suspek yang masih bebas termasuk mengadakan Op Tutup dan menyebarkan butiran suspek kepada seluruh pasukan bertugas di lapangan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Penampang yang baru di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Penampang, hari ini.

Majlis itu menyaksikan bekas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sipitang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Penampang yang baru berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan kekosongan jawatan berkenaan selepas KPD sebelum ini, Deputi Superintendan Rosley Hobden berpindah ke Miri, Sarawak bagi menggalas KPD di daerah berkenaan pada Disember tahun lalu.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 6:38pm
d