arena

Yakin FIH akan buat keputusan segera

Oleh Saiful Affendy Sapran

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) yakin Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) akan membuat keputusan untuk menetapkan satu tarikh bagi sesi perbicaraan membabitkan kes positif doping penjaga gol utama skuad negara, S Kumar, minggu depan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, jika perkara itu menjadi kenyataan, pihaknya berharap perbicaraan berkenaan juga akan berlangsung pada bulan ini juga supaya kes berkenaan dapat diselesikan segera.

Kumar didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) ketika beraksi di saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara.

“Kami sudah pun menghantar surat rayuan kepada FIH pada 21 Disember lalu, bertujuan meminta mereka memberi peluang kepada Kumar hadir di sesi perbicaraan untuk membela diri.

“Setakat ini, kami memang masih menunggu jawapan daripada FIH. Tetapi saya yakin, minggu depan pastinya FIH akan membalas permohonan kami dengan menetapkan satu tarikh untuk sesi perbicaraan.

“Hanya kami berharap FIH dapat menetapkan tarikh perbicaraan pada bulan ini juga,” katanya.

Subahan berkata, tujuannya adalah supaya kes membabitkan penjaga gol berusia 38 tahun itu dapat diselesaikan dengan secepat mungkin dan Kumar boleh kembali menjalani latihan bersama Malaysian Tigers.

“Kami juga berharap Kumar hanya akan diberi teguran atau amaran keras.

“Pasukan memang memerlukan Kumar kerana ketika ini dia langsung tidak boleh melakukan sebarang aktiviti membabitkan hoki,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2018 @ 7:06pm
d