vroom

Wajah baru Honda CB500

Oleh Mohd Razlan Salleh

Bagi memenuhi jiwa peminat permotoran tempatan, Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) memperkenalkan tiga model iaitu CBR500R, CB500F dan CB500X dengan warna serta garis baru lebih sporty, agresif dan pengembaraan.

Ketiga-tiga model berkenaan sangat popular kerana bentuknya yang moden selain saiznya yang mudah dikendalikan sama ada di dalam atau luar bandar.

Menurut Timbalan Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Datuk Seri Tan Hui Jing, tahun 2018 menjadi titik perubahan bagi Honda Big Bike di negara ini termasuk pembukaan Honda BigWing di bandar utama empat negeri iaitu di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

“Pengenalan wajah baru tiga model ini hanya titik permulaan,” katanya.

Terdahulu, Honda masih mengekalkan susuk tubuh padat dengan gaya yang unik tetapi padanan warna serta garis baru menampilkan wajah lebih segar.

Pengenalan warna dan garis baru ini seiring dengan konsep reka bentuk iaitu CBR500R - ‘Bentuk Kelajuan Agresif’, CB500F - ‘Mekanikal & Agresif’ dan CB500X - ‘Rasa Pengembaraan’.

Ketiga-tiga model ini masih mengekalkan enjin DOHC 471cc dan dan kerangka diamond-tube untuk kestabilan tunggangan.

Padanan lampu hadapan dan belakang daripada LED menambah ciri visual dan premium jentera dua roda moden.

Dengan gaya baru berkenaan, ketiga-tiga model ini mengarakkan wajah lebih agresif dan dinamik.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 3:29am
d