mutakhir

Ajal dirempuh lori

Oleh Hadzlihady Hassan

PEKERJA Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL) maut dirempuh lori dalam kemalangan di Lebuhraya Butterworth-Kulim arah Seberang Jaya, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa Mohd Arif Ghazali, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan mendapati mangsa berhentikan kenderaannya untuk membuat penyelenggaraan tanpa meletakkan sebarang bendera atau tanda amaran.

Menurutnya, melihatkan keadaan itu, seorang pemandu kereta yang berada di belakang terpaksa memberhentikan kenderaan secara mengejut untuk mengelak merempuh mangsa.

“Bagaimanapun, sebuah lori dipandu seorang lelaki yang turut berada di laluan sama tidak sempat mengelak kereta di hadapannya.

“Lori terbabit merempuh kereta di hadapan sebelum terbabas dan merempuh pula mangsa yang berada di kanan jalan,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 3:53pm
d