mutakhir

'Lalok' empat sekawan

Oleh Zulfa Mohamad

EMPAT sekawan yang sedang khayal dadah dicekup di sebuah rumah di Flat Ampang Jajar, Butterworth, malam tadi.

Mereka termasuk seorang wanita dicekup dalam serbuan pada 11 malam oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU) diketuai Inspektor K Tanapalan hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tiga lelaki dan wanita yang ditahan itu berusia antara 31 dan 43 tahun dan mereka dipercayai menjadikan sebuah rumah di flat berkenaan sebagai 'port' melepaskan gian.

"Polis yang membuat pemeriksaan dalam bilik menemui dua paket plastik serta satu straw mengandungi dadah disyaki heroin seberat 21 gram dan dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri.

"Ujian air kencing ke atas keempat-empat suspek didapati positif dadah morfin dan amphetamine," katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, pihaknya melancarkan operasi secara agresif bagi membanteras kegiatan penagihan dadah dalam SPU.

Katanya, empat penagih terbabit adalah rakan dan semuanya warga tempatan.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 4:54pm
d