mutakhir

Dua cedera, van langgar lembu

Oleh Muhammad Apendy Issahak

DUA cedera dan 13 terselamat selepas van membawa warga asing merempuh seekor lembu di Kilometer 320.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Tapah awal pagi hari ini.

Kejadian 4.15 pagi itu membabitkan sebuah van dipandu lelaki tempatan bersama 14 warga Rohingya termasuk lima kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati van terbabit dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, van berkenaan melanggar seekor lembu yang berada di lebuh raya menyebabkan ia terbabas ke bahu jalan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu, Mohd Ali Mohd Hussein, 30, dari Bagan Ajam, Pulau Pinang dan seorang penumpang warga Rohingya dikenali sebagai Abu Kassim Mohd Elyas cedera di kaki kiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, lembu yang dirempuh pula mati manakala 13 lagi penumpang yang semuanya mempunyai kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) termasuk lima kanak-kanak terselamat.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan binatang dan disahkan oleh Pembantu Pegawai Penyiasat Sarjan Jemat Saini di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, hasil semakan mendapati van terbabit didaftar atas nama sebuah agensi pelancongan.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 4:24pm
d