mutakhir

Tak sempat ziarah jenazah rakan

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

LELAKI warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebelum diseret sejauh 16 meter oleh lori membawa muatan perabot dalam kejadian di kilometer 22 Jalan Muar- Yong Peng, Batu Pahat, kira-kira 8 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa dikenali sebagai Ahmad Darman, 74, dari Batu 20 Parit Sulong dalam perjalanan untuk menziarahi jenazah rakannya di Parit Setang.

“Satu kemalangan jalan raya dipercayai berlaku apabila pemandu lori datang dari arah Parit Sulong menghala ke arah Bakri Muar.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu lori memandu di jalan lurus dan tiba-tiba mangsa keluar dari simpang sebelah kiri menyebabkan pemandu lori tidak sempat membrek lalu melanggar mangsa.

“Akibat kemalangan terbabit, mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 35 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 6:14pm
d