mutakhir

Sekolah kena petir

Oleh Nur Sufiah Abd Halim Roslan

Puchong: Panahan petir dipercayai menjadi punca kebakaran mengejut di Sekolah Kebangsaan Puchong Indah, Taman Puchong Indah, di sini.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, murid dan guru sekolah berkenaan panik apabila kepulan asap hitam keluar dari dalam siling bumbung di tingkat tiga bangunan sekolah itu.

Ekoran kejadian itu, hampir 80 murid yang sedang mengikuti sesi pembelajaran diarah meninggalkan kelas.

Bagaimanapun, ia hanya berpunca daripada kebakaran pada penebat aluminium serta tidak mengakibatkan kebakaran lebih besar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Mohd Hisam Mat Yasih berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.29 petang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati asap hitam keluar dari bahagian dalam siling dan tidak menjejaskan struktur lain di sekolah berkenaan,” katanya.

Mohd Hisam berkata, pelajar mendakwa mendengar dentuman kuat petir yang dipercayai menjadi punca kebakaran kecil itu.

“Kebakaran berjaya dipadamkan terlebih dahulu oleh guru di sekolah berkenaan. Pihak bomba turut melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan api benar-benar padam,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 4:51am
d