utama

[METROTV] [UPDATE] Mungkin jenayah asmara?

Oleh Teoh Pei Ying

POLIS menahan lelaki, 37, yang menyerah diri dengan membawa mayat teman wanitanya ke Balai Polis Damansara, Petaling Jaya selepas mengaku membunuh mangsa, hari ini.

Siasatan awal polis percaya kejadian berlaku di dalam kereta Honda City di Kota Damansara pada 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek tampil ke balai polis berkenaan pada 4 petang sambil memaklumkan kejadian kepada anggota polis bertugas di kaunter.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui mayat mangsa, 35, di tempat duduk belakang kereta terbabit.

“Siasatan awal polis mendapati kesan tikaman pada leher mangsa dipercayai menggunakan objek tajam yang turut ditemui di dalam kereta itu,” katanya pada sidang media di Balai Polis Damansara.

Menurutnya, pihak polis tidak menolak kemungkinan kejadian mempunyai kaitan dengan jenayah asmara, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Petaling Jaya untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek bagi membantu siasatan, esok,” katanya.

Berita berkaitan

Serah diri bawa mayat kekasih

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 6:36pm
d