utama

Issey ada calon suri hati

Oleh Norhayati Nordin

Meskipun hati lelakinya kental, kegagalan rumah tangga dilalui pelakon, pengacara dan penyampai radio Hot FM, Issey Fazlisham, 30, benar-benar menguji dirinya.

Namun begitu, lebih setahun berstatus duda tetap tidak pernah menutup pintu hati Issey mencari suri hati baru. Dia juga dikatakan kini berkawan rapat dengan seseorang yang berjaya merawat lukanya, Issey tidak menafikan perkara itu.

Mengulas mengenainya, Issey berkata, sebagai lelaki normal dia memang perlukan wanita untuk menemani hidupnya.

“Apa yang pernah berlaku dalam kehidupan rumah tangga dulu adalah pengalaman dan ujian buat saya. Bagaimanapun, janganlah disebabkan kegagalan itu juga membuatkan saya perlu menutup hati untuk cinta baru.

“Soal jodoh adalah ketentuan Allah SWT. Sebagai hamba-Nya, saya harus berusaha dan tidak salah untuk berkawan,” katanya.

Menurut Issey, dia kini berkawan dengan seseorang tetapi masih dalam fasa persahabatan.

“Saya tidaklah terlalu cerewet dan bersikap memilih tetapi dalam fasa ini, lebih selesa kami berkawan dulu. Lagipun, saya tidak mahu terlalu memikirkan soal jodoh kerana yakin ia akan tiba pada masanya.

“Saya tidak mahu bersikap terburu-buru dan menjalin hubungan persahabatan adalah langkah tepat,” katanya.

Katanya, dia kini sibuk dengan pelbagai aktiviti seni termasuk tugas di konti radio.

“Sekarang pun, saya harus menumpukan sepenuh perhatian kepada persaingan program Bintang Bersama Bintang (BBB) terbitan TV3.

“Sudah beberapa minggu bersaing ternyata agak sengit untuk saya menghadapi pelawak lain yang bertanding. Mereka sangat hebat kerana pelbagai idea persembahan lawak menarik ditampilkan setiap minggu.

“Bagi saya, Abam, Ajak, Achey, Shuk serta Mark Adam bukan calang-calang lawan kerana mereka sangat kreatif,” katanya.

Namun, kata Issey, dia masih kurang mendapat pendedahan dalam menyertai pertandingan.

“Pengalaman saya beraksi dalam pertandingan lawak masih sedikit jika hendak dibandingkan dengan Abam, Ajak, Achey dan Shuk. Namun, saya cekal dan tidak gentar memberikan saingan. Cuma persembahan saya mungkin pada tahap biasa.

“Namun, selagi belum sampai ke garisan penamat, saya tidak akan putus asa meneruskan perjuangan. Bersandarkan sokongan peminat, saya yakin boleh bangkit dan berusaha membuat persembahan yang lucu,” katanya.

Bersikap terbuka menerima segala teguran dan kritikan daripada juri profesional Saiful Apek, anak jati Kelantan ini lebih selesa bersikap positif.

Katanya, mungkin selama ini dia sudah berada pada zon selesa dan sudah tentu harus berusaha lebih keras.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 9:26am
d