arena

Bida siri Piala Dunia UCI

Oleh Azlan Muhammad Zain

MALAYSIA mengintai peluang untuk menjadi salah satu tuan rumah siri lumba basikal Piala Dunia bagi musim 2019-2020.

Perkembangan itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas mengadakan pertemuan bersama Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), David Lappartient di Velodrom Nasional. sebentar tadi.

“Kami sudah menyuarakan minat untuk menganjur siri Piala Dunia menerusi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan menyatakan kesediaan kerajaan membantu dari segi kewangan untuk membida.

“Presiden UCI ambil maklum dan kelihatan positif namun kami harus mengikut semua prosedur yang ditetapkan,” jelasnya.

Khairy berkata, semua kekurangan yang timbul semasa Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) yang sedang berlangsung akan diperbaiki untuk menganjurkan siri Piala Dunia.

Awal bulan ini, UCI mengumumkan enam negara sebagai tuan rumah Piala Dunia bagi musim 2018-2019 dengan Perancis, Kanada, Jerman, England, New Zealand dan Hong Kong terpilih.

Sementara itu mengulas mengenai prestasi Azizulhasni Awang, beliau menjelaskan tiada sebarang kebimbangan kerana keutamaannya bukan di ACC walaupun ia kejohanan yang besar.

“Dia mempunyai Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini. Dia perlu berada pada tahap terbaik pada kejohanan yang sepatutnya,” ujarnya.

Khairy turut memuji persembahan Jupha Somnet yang meraih emas acara perlumbaan mata selain prestasi atlet remaja dan paracycling negara.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 6:12pm
d