mutakhir

Padah baling kayu pada adik tiri

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

BURUH lelaki dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini terhadap tuduhan membaling kayu kepada adik tirinya, minggu lalu.

Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohamad Shafie Shaari, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Beliau kemudian mengarahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengugut adik tirinya, 16, dengan mengejar dan membaling kayu kaki kerusi di sebuah rumah di Kampung Chengal, Kadok, Ketereh, Kota Bharu pada 4 petang, 9 Februari lalu.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian itu, mangsa cuba meleraikan pergaduhan mulut antara tertuduh dan bapa tirinya berpunca apabila lelaki itu meminta wang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika kesalahan itu.

Terdahulu, Mohamad Shafie yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah supaya meringankan hukumannya kerana sudah insaf atas kesalahan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh supaya menjadi pengajaran.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 7:30pm
d