rap

Dapat arahan, kita serbu...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PERSATUAN Seniman tidak mahu sekadar bersikap cakap besar menangani isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan artis dan penggiat seni tempatan.

Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, pihaknya akan tetap meneruskan operasi Ops Seni di semua lokasi penggambaran drama, filem dan tempat persembahan.

“Cadangan untuk buat operasi ini disambut baik pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). Cuma, buat masa sekarang kami masih dalam peringkat perbincangan bila operasi ini bermula.

“Dapat saja arahan, kita akan terus buat. Seniman juga tidak akan maklumkan bila dan di mana operasi dijalankan. Jika diuar-uarkan ia bukan operasi namanya.

“Namun, pada hari operasi baru kita akan beri taklimat di mana nak diserbu berserta butiran lain,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zed, pihaknya bertegas dan memandang serius perkara itu yang dilihat kian membimbangkan sejak kebelakangan ini.

“Kita tetap akan membuat operasi di set penggambaran tetapi buat masa ini masih menunggu arahan kerana ia bergantung kepada pihak AADK.

“Operasi ini bukan saja bersama AADK tetapi mendapat kerjasama FINAS bagi memantau perlesenan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP). Jadi, peranan persatuan hanya bekerjasama supaya operasi ini akan berjalan lancar,” katanya.

Dalam masa sama, Zed yang juga pelakon akui wujud penyalahgunaan dadah membabitkan pelakon di lokasi penggambaran.

“Sebagai pelakon sudah lama terbabit dalam bidang lakonan, saya sedia maklum mengenai perkara ini.

“Namun, kes sebegini hanya minoriti saja dan bukan semua. Sebenarnya, Seniman sudah bertegas dengan dadah sejak dulu lagi sebelum kes Datuk Farid Kamil yang mana boleh rujuk kajian Seniman pada 2016,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 1:33pm
d