mutakhir

[UPDATE] Suspek disyaki anggota Daish [METROTV]

Oleh Abdul Rahemang Taiming

TIGA suspek penjenayah yang mati ditembak polis berhampiran ladang kelapa sawit di Batu 2 Jalan Kalabakan-Keningau, Tawau, semalam, disyaki anggota kumpulan militan Daish.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan keupayaan serta senjata dimiliki tiga suspek terbabit.

“Pasukan keselamatan percaya mereka adalah ahli kumpulan penjenayah terancang dan terlatih, selain memiliki kemahiran taktikal berperang dan berbahaya.

“Bagaimanapun kita masih belum mengenal pasti identiti sebenar ketiga-tiga suspek serta motif mereka.

“Siasatan terperinci dijalankan termasuk bantuan pihak Bukit Aman, Polis Antarabangsa (INTERPOL) serta pihak berkuasa Filipina,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Hazani berkata, pihaknya juga menyiasat sama ada ketiga-tiga suspek ada kaitan dengan beberapa tangkapan ahli kumpulan Daish di negeri ini, minggu lalu.

Beliau berkata, ESSCOM juga giat menjalankan siasatan bagaimana bagaimana senjata api yang digunakan suspek diperoleh serta dibawa masuk ke negeri ini.

Berikutan itu, katanya, ESSCOM akan menempatkan pemeriksaan daratan atau atau Road Check Point (RCP) di sepanjang laluan Kalabakan serta beberapa lagi kawasan lain termasuk Telupid yang dipercayai digunakan sebagai ‘laluan tikus’ bagi penjenayah rentas sempadan untuk menjalankan kegiatan mereka di Sabah.

Dalam kejadian 3.20 petang semalam, tiga suspek bersenjata mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis.

Polis kemudian menemui selaras raifal M16-A1, sepucuk Revolver, pedang samurai, topeng, sarung tangan dalam PERODUA Kancil dinaiki mereka. Kereta itu pula dilaporkan hilang di Kota Kinabalu pada tahun 2010.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menerusi kenyataan berkata, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 10 orang disyaki terbabit dengan kegiatan pengganas dalam operasi di Sabah dari 24 Januari hingga 6 Februari lalu.

Suspek membabitkan sembilan lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 50 tahun itu dipercayai menguruskan kemasukan pengganas dari Sabah ke selatan Filipina yang ditahan di Sandakan dan Penampang.

Berita berkaitan:

Tiga penjenayah maut berbalas tembakan

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 12:42pm
d