dekotaman

Bersih seperti masih baru

Oleh Nurul Husna Mahmud

Lantai antara bahagian rumah yang perlu dipastikan aspek kebersihannya kerana ia membabitkan keselesaan penghuni. Bagi pemilik kediaman yang mempunyai anak masih kecil, tumpuan perlu diberikan bagi memastikan bahagian itu kekal bersih dan selamat untuk mereka.

Untuk kebanyakan rumah moden, lantai yang sering digunakan adalah jubin. Meskipun pengurusan jubin jauh lebih mudah berbanding lantai kayu, kerja mencuci masih tetap penting.

Apabila anda mengabaikan penjagaan itu, ia secara tidak langsung menyebabkan berlaku permukaan lantai tidak selesa dipijak dan ‘rupanya’ juga kusam serta berhabuk.

Oleh itu, kali ini beberapa tip dikongsi untuk anda cuba bagi memastikan lantai bersih serta kembali kilat seperti jubin baru.

Campuran cecair antiseptik dengan air panas

Caranya, air perlu dimasak di dalam periuk besar hingga hampir mendidih dan kemudiannya tuang ke dalam baldi.

Seterusnya, tuangkan cecair antiseptik tadi ke dalam baldi yang berisi air berkenaan. Mop lantai menggunakan campuran ini.

Campuran cuka dan air panas

Terlebih dulu anda perlu menyapu bersih ruang lantai untuk membuang habuk dan benda asing yang melekat. Kemudian letakkan air panas dalam baldi diikuti dengan cuka satu pertiga cawan. Mulakan aktiviti mop lantai dengan campuran cuka dan air panas itu.

Campuran lilin, minyak tanah dan air

Lilin yang dikikis dicampurkan dengan minyak tanah sebanyak 10 mililiter dalam sebaldi air.

Kacau semua campuran itu supaya sebati dan mulakan kerja-kerja mengemop. Ia sesuai juga untuk permukaan kayu vinyl.

Penggunaan campuran soda, cuka atau lemon dalam air

Anda boleh menggunakan sukatan iaitu tiga sudu soda, suku cawan lemon dan setengah cawan cuka dalam sebaldi air.

Bancuh semua bahan ini dan mopkan lantai kediaman anda itu.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 7:35am
d