vroom

Lancar serentak

Oleh Mohd Razlan Salleh

Triumph Motorcycles memperluaskan rangkaian pasaran tempatan dengan pengenalan lapan model baru iaitu Bonneville Bobber Black dan Speedmaster selain enam varian Tiger 800 yang memukau.

Jenama popular Eropah diimport secara rasmi oleh Motoradic Sdn Bhd dan diedarkan Fast Bikes Sdn Bhd, optimis semua model terbaru terutama Tiger menepati selera peminat motosikal berkuasa tinggi tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak al-Malique berkata, pelancaran motosikal baru itu sebagai menghargai pelanggan yang setia bersama jenama Triumph termasuk mereka yang baru memiliki motosikal jenama berkenaan.

“Bonneville Bobber berjaya membawa jenama Triumph ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

“Ia adalah motosikal menarik dan sesuai bagi mereka yang menggemari sentuhan klasik gaya bobber,” katanya ketika pelancarannya di Bukit Tinggi, Pahang minggu lalu.

Razak berkata, kehadiran Bobber Black melengkapi pakej Bonneville Bobber dengan gaya tersendiri, kejuruteraan elegan dan paling utama tunggangan bersama bunyi yang mengujakan.

“Bonneville Speedmaster pula membawa pengaruh DNA klasik keluarga Bonneville dengan paduan gaya Bobber yang unik tetapi lebih praktikal dan versatil.

“Model ini lebih ergonomi dengan penunggangan lebih relaks manakala enam varian Triumph Tiger 800 XCx dan XRx antara motosikal kembara paling berjaya dalam segmen masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Bonneville Bobber Black yang berasaskan model Bonneville Bobber antara motosikal jenama Triumph terlaris di dunia. Ia menampilkan rim hadapan 16 inci, fork hadapan Showa 47mm, lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) baru selain butang tunggal bagi kawalan jelajah sebagai ciri standard.

Bonneville Speedmaster pula turut ergonomi bagi tunggangan lebih relaks dengan beach bars terentang ke belakang, pemasangan pelana berkembar dan tunggal berbanding Bobber yang hanya didatangkan dengan satu pelana.

Ia juga mempunyai tempat letak kaki dipasang ke hadapan, rim berjejari 16 inci dan tangki bahan api berkapasiti 12 liter bagi tunggangan jarak jauh.

Kedua-dua model ini dipacu enjin berkembar sebaris 1,200cc yang menawarkan kuasa 77Ps pada 6,100rpm manakala tork maksimum 106Nm pada 4,000rpm.

Model kembara Tiger 800 XCx untuk laluan sukar dan XRx yang khusus bagi penggunaan di jalan raya menampilkan lebih 200 penambahbaikan pada casis dan enjin. Paling menarik Varian XCx dan XRx dilengkapi kelompok instrumen berwarna TFT baru bersaiz lima inci.

Nisbah gear juga diperbaharui dengan gear satu lebih pendek bertujuan mempertingkatkan cengkaman off-road, pengendalian mudah pada kelajuan rendah serta lebih daya pecutan.

Tiger 800 didatangkan dengan kompaun pelana baru dan dua pilihan ketinggian. Pelana model XRx (810-830mm) dan XCx (840-860mm) boleh dilaras sehingga 20mm bagi menyesuaikan gaya tunggangan dan laluan penunggang.

Selain itu, peralatan standard dikekalkan antaranya Sistem Brek Anti Kunci (ABS), kawalan cengkaman, pendikit ‘ride-by-wire’, kawalan jelajah, pelana dengan ciri pemanas dan grip (model terpilih) dan soket kuasa.

Semua model Triumph terbaru ini pada harga bermula RM79,900 bagi Bonneville Bobber Black dan Bonneville Speedmaster. Enam varian Triumph Tiger 800 iaitu XR, XRx, XRx Low, XRT, XCx, XCa dijual pada harga bermula RM56,900 hingga RM81,900.

Semua motosikal ini disertakan dengan waranti perbatuan tidak terhad selama dua tahun.

Disiarkan pada: March 11, 2018 @ 11:28am
d