rap

Pastikan penonton puas

Oleh Najiy Jefri

ENAM kumpulan nasyid popular dan lima penyanyi solo bakal berentap di pentas Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV 2) yang akan bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Program itu akan bersiaran di saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (134) selama 7 minggu, jam 9 malam mulai 31 Mac ini.

Enam kumpulan nasyid terpilih adalah Brothers, Devotees, InTeam, Mestica, Rabithah serta pasangan duo Heliza & Hazwani.

Manakala barisan peserta solo pula terdiri daripada Adeep Nahar, Awi Rafael, Farah Asyikin, Fitri Haris dan Ippo Hafiz.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, penganjuran GGV tahun lalu menyaksikan program ini melakar kejayaan membanggakan apabila menjadi program islamik nombor satu di Malaysia.

“Rentetan daripada pelbagai kejayaan yang dilakar musim lalu, kami berasa bersyukur dan lebih bersemangat untuk memberi yang lebih baik kepada penonton.

“Kami amat teruja apabila GGV bukan saja menjadi sebutan rakyat Malaysia malah berjaya mencatatkan rekod sebagai program Islamik nombor satu di Malaysia,” katanya.

Raqim berkata pada sidang media Gema Gegar Vaganza 2 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Barisan juri tetap ialah komposer Farihin Abdul Fattah dan pelakon Indonesia, Oki Setiana Dewi serta juri jemputan setiap minggu.

Tidak ketinggalan, musim ini turut memperkenalkan pengacara baru Fakhrul UNIC bersama penyanyi Siti Nordiana Fikry Ibrahim selaku pengacara.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 9:52pm
d