utama

Kisah sedih Rizal Ng

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kisah kanak-kanak lelaki ini menyayat hati apabila dia bukan saja kehilangan adik lelakinya akibat dihempap televisyen, malah ibunya melarikan diri sejak setahun lalu manakala bapanya kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Rizal Ng Chong Wei, 6, yang juga orang kurang upaya pembelajaran kini ditempatkan di sebuah institusi kebajikan di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas bapanya didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian anaknya, Januari lalu.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Klang Noor Adelin Nordin berkata, pada awal tahun ini Rizal dirujuk seorang lelaki berusia 33 tahun yang mendakwa dia bapa kandung kanak-kanak itu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

“Rizal yang berada dalam keadaan kritikal ketika itu dipercayai muntah, cirit-birit dan tidak makan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Dalam tempoh dirawat, lelaki mendakwa bapa Rizal tidak datang melawat anaknya menyebabkan doktor menghantar Rizal kembali ke HTAR selepas dia pulih,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh itu, Rizal yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri selain suntikan imunisasi dikejutkan dengan kematian adiknya berusia dua tahun di HTAR.

“Adik Rizal dilaporkan kritikal dan dihantar bapanya ke HTAR dipercayai dihempap televisyen sebelum disahkan meninggal dunia.

“Doktor melaporkan kepada polis sebelum satu siasatan dijalankan dan lelaki itu dibawa ke Penjara Sungai Buloh manakala Rizal dirujuk kepada JKM,” katanya.

JKM ketika ini berusaha mengesan ibu kandung Rizal dipercayai wanita warga Indonesia, Ima Tri Yanti, 32, untuk urusan dokumentasi dan penempatan kanak-kanak itu.

Orang ramai yang mengenali Ima Tri Yanti boleh menghubungi Noor Adelin di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang di talian 03-33413703 atau menelefon 03-33413821.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 6:25am
d