arena

Jerman, Sepanyol sama hebat

Oleh AFP

DUSSELDORF, Jerman: Gol penyamaan menarik oleh Thomas Mueller menyaksikan juara dunia Jerman bangkit mengikat Sepanyol 1-1 dalam aksi persahabatan awal pagi tadi.

Selepas Rodrigo Moreno meletakkan Sepanyol di depan pada minit keenam permainan, Jerman kembali menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi gol ke-38 Mueller untuk Jerman dalam penampilan antarabangsa ke-90 pemain itu.

“Saya mencubanya beberapa kali ketika latihan dan ia cukup bermakna apabila anda dapat melakukannya dalam permainan sebenar,” kata Mueller berkenaan jaringannya.

“Kedua-dua pasukan mempunyai peluang mereka dan seharusnya permainan berakhir dengan keputusan 2-2 atau 3-3 - ia ujian yang baik untuk kami.”

Keputusan seri itu mengekalkan rekod tanpa kalah kedua-dua pasukan sejak Euro 2016.

Sepanyol yang akan melayan kunjungan Argentina di Madrid awal pagi Rabu nantu, kini belum tewas sepanjang 17 perlawanan manakala Jerman mengharungi 22 perlawanan tanpa kalah dalam persiapan menghadapi Brazil di Berlin pada hari yang sama.

Pengendali Sepanyol Julen Lopetegui menyenaraikan tiga pemain veteran yang memenangi Piala Dunia 2010 - Gerard Pique, Sergio Ramos dan Andres Iniesta.

Pada usia 33, Iniesta berjaya memporak-perandakan barisan tengah Jerman sepanjang 45 minit pertama menerusi gerakan menarik dan hantaran-hantaran tepat kepada jentera serangan Sepanyol.

Pengendali Jerman Joachim Loew memulakan permainan dengan enam pemenang Piala Dunia 2014 - Mats Hummels, Jerome Boateng, Sami Khedira, Toni Kroos, Mueller dan Mesut Ozil.

Hummels bertanggungjawab untuk gol pembukaan Sepanyol apabila memberikan terlalu banyak ruang buat Iniesta untuk menghantar bola melepas benteng Jerman dan Moreno memastikan peluang terhidang pada minit keenam disempurnakan.

Mueller yang berjaya mengesan kedudukan penjaga gol Sepanyol David de Gea yang terlalu ke depan, mengambil peluang dengan melepaskan rembatan dari jarak jauh untuk menyamakan kedudukan 10 minit sebelum rehat. 

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 8:18am
d