mutakhir

Maut terbabas sendiri

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

LELAKI maut selepas jentera penggelek jalan yang dipandunya terjunam dalam parit di Jalan Parit Empat, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Suprintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa Mohamad Ariff Omar, 30, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat lemas.

"Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Parit Empat menuju ke Parit Tiga, Sungai Besar.

"Tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum jentera berat itu terjunam ke dalam parit di tepi jalan berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita.

Kata Nor Azmi, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 9:30pm
d