mutakhir

Diskaun saman, kompaun JPJ 'harga runtuh'

Oleh Mohamed Farid Noh

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan diskaun 70 peratus terhadap semua saman dan kompaun yang dikeluarkan agensi itu selama sebulan bermula hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, diskaun saman dan kompaun itu ditawarkan bersempena ulang tahun JPJ ke-72.

Katanya, diskaun 70 peratus itu juga mencatat sejarah baru berikutan JPJ tidak pernah menawarkan diskaun setinggi itu sepanjang 72 tahun penubuhannya.

“Orang ramai perlu merebut peluang membayar pelbagai saman dan kompaun JPJ dengan potongan 70 peratus bermula hari ini sehingga 2 Mei depan.

“Bayaran saman dan kompaun boleh dilakukan di semua kaunter JPJ di seluruh negara.

"Namun, lima kesalahan yang tidak berhak mendapat diskaun itu adalah kesalahan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), kompaun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kesalahan Berat Dengan Muatan (BDM) atau lebih muatan bagi kenderaan lebih lima tan, saman mahkamah serta saman dan kompaun membabitkan warga asing.

“Ini kali pertama potongan sehingga 70 peratus ditawarkan sepanjang penubuhan JPJ kerana sebelum ini kita hanya tawarkan diskaun sehingga 50 peratus sahaja," katanya ketika dihubungi NSTP.

Terdahulu, Ab Aziz melancarkan Sambutan Hari JPJ ke-72 Peringkat Kebangsaan di Dataran BP Mall, Batu Pahat, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid.

Disiarkan pada: April 2, 2018 @ 6:42pm
d