mutakhir

Dua maut kereta rempuh pokok

Oleh Nor Azizah Mokhtar

DUA maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok di Persiaran Tujuan USJ 11 dari arah USJ 4 ke arah Persiaran Kewajipan di Subang Jaya, awal pagi hari ini.

Dalam kemalangan 5.21 pagi itu, mangsa, Muhammad Eimran Mohd Yusof dan Nur Nabilah Zulkifly, kedua-duanya berusia 22 tahun maut di tempat kejadian.

Muhammad Eimran yang berasal dari Subang Jaya dilaporkan cedera pada kepala dan badan manakala Nur Nabilah yang berasal dari Semerah, Batu Pahat, Johor meninggal dunia akibat parah di muka dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, pemandu kereta Perodua Myvi itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan merempuh pokok di sebelah kiri jalan.

“Kedua-dua mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

“Kami mohon sekiranya ada pihak yang menyaksikan kemalangan ini untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan masih diteruskan bagi memastikan punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mahu menyalurkan sebarang maklumat berhubung kemalangan itu, boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nasser Peping di talian 03-78627222

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 3:50pm
d