arena

Shahrel calar ego FELDA

Oleh Aziman Rosdi

DUA gol yang dihasilkan penyerang, Muhd Shahrel Fikri membolehkan PKNP FC menewaskan pasukan pilihan, FELDA United 2-1 sekali gus mara ke separuh akhir Piala FA menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas kedudukan agregat terikat 2-2.

Dalam aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Tun Abd Razak, Jengka itu, pasukan tuan rumah, FELDA United nyata lebih tertekan biarpun memiliki bekalan satu gol hasil kemenangan pada pertemuan pertama.

Shahrel yang turut bertindak sebagai kapten pasukan, mengejutkan FELDA United menerusi jaringan pada minit ke-15 dengan menanduk masuk bola dan menewaskan Farizal Harun yang mengawal gawang tuan rumah.

Bagaimanapun, pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Noor menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-26 menerusi sepakan percuma padu yang menerjah ke penjuru gol PKNP.

Kedudukan berubah pada minit ke-43 apabila Shahrel membuktikan bisa tandukannya dan memastikan anak buah Abu Bakar Fadzim mendahului 2-1.

FELDA United yang menerajui Liga Perdana dengan rekod tanpa kalah, melancarkan asakan bertali arus pada babak kedua dalam usaha memburu gol namun pasukan pelawat ampuh bertahan.

   Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan dan membolehkan PKNP melakar kejutan mara ke separuh akhir bertemu Pahang yang menyingkirkan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-0 dalam satu lagi aksi suku akhir di Larkin.   

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 11:50pm
d