mutakhir

Denda RM2,000 tumbuk Pak Guard

Oleh Sarah Zulkifli

SIKAP panas baran lelaki apabila secara tiba-tiba menumbuk pengawal keselamatan kerana memandangnya mendapat balasan apabila dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Qayyum Ridzuan, 30, mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh tidak membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap S Santhanam, 62, dengan menumbuk mangsa di bahagian mata kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pondok pengawal keselamatan, Apartmen 3 Elemen, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada 3 pagi, 20 April lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Muhammad Qayyum yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan tempoh tahanan reman sudah menginsafkannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan sebagai pengajaran ke atas tertuduh dan orang awam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang baru sahaja meletakkan keretanya dijeling oleh pengawal keselamatan itu.

Namun, tertuduh yang berang dengan tindakan mangsa secara tiba-tiba memarahinya dan menumbuk mata kiri lelaki itu.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 5:17pm
d