hati

Menepati semua elemen diingini

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Bukan saja perlu selesa dan memberi impak comel kepada si cilik ketika menyarung pakaian namun rata-rata golongan ibu bersetuju elemen sedap mata memandang menjadi antara faktor terpenting dalam pemilihan busana buat anak tersayang.

Mungkin agak sukar untuk menemui koleksi busana si kecil yang menepati keseluruhan elemen dimahukan menjadikan jenama fesyen kanak-kanak, AshrafAmaniZ Couture berusaha tampil dengan koleksi istimewa.

Kombinasi renda dan kain satin pusam menjadi buah tangan sulung jenama itu. Lebih menarik ia dipadankan dengan kerongsang tradisional yang mendominasi rekaan fesyen moden dan tradisional buat si cilik anda.

Nampak ringkas dalam persalinan satu helai, koleksi ini sesuai digayakan terutama menjelang lebaran selain menghadiri jemputan formal pada hujung minggu.

Terserlah keanggunan tatkala menyarung busana koleksi Gaun Maksi Renda Hitam AmaniZ yang didatang­kan dengan empat warna pilihan iaitu kuning mustard, merah jambu, ungu lembayung dan hijau zamrud.

Mencari kelainan dalam rekaan busana kanak-kanak, menurut pengasasnya Muhammad Ashraf Atan, penggunaan renda bagi busana kanak-kanak mungkin agak terhad memandangkan kehalusan jenis kain itu yang memerlukan penjagaan rapi.

“Namun bagi kami, penggunaan renda hitam yang dipadankan dengan keempat-empat pilihan warna koleksi ini menjadi keistimewaan dan memberi kelainan sekali gus menonjol­kan lagi keang­gunan busana ini ketika digayakan.

“Idea ini dilahirkan isteri saya sendiri ketika dia mereka satu busana untuk puteri sulung kami dan ternyata rekaan itu mendapat pujian ramai,” katanya.

Menurutnya, sejak itu, tercetusnya idea untuk menghasilkan rekaan koleksi ini yang menjadi rekaan eksklusif pihaknya kerana keselesaan dan keanggunan digabungkan dalam menghasilkan rekaan ini.

“Kami menawarkan satu rekaan sama namun menyediakan dua pilihan kepada pelanggan iaitu lengan mempunyai pelapik dan tanpa pelapik.

“Pemilihan empat warna dengan pelapik atau tanpa pelapik dan tanpa pelapik disediakan mengikut keselesaan. Jenis renda yang digunakan adalah berkualiti dan tidak gatal namun terpulang kepada ibu bapa untuk memilih busana yang inginkan,” ujarnya.

Katanya, selain itu, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan tempahan awal mengikut warna satin kain pilihan pelanggan.

“Kami memahami setiap keluarga sudah mempunyai warna tema raya masing-masing. Oleh itu, kami membuka tempahan untuk ibu yang mahukan rekaan koleksi ini mengikut warna tema masing-masing,” katanya.

Menurutnya, setiap busana boleh didapati pada harga antara RM85 sehingga RM99 dan setiap pembelian akan menerima kerongsang tradisional.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 1:17am
d