mutakhir

Pukat ikan, 'dapat' sang bedal!

Oleh Mohd Rizal Abdullah

LAIN dicari lain dapat! Itu pengalaman seorang lelaki apabila 'tertangkap' seekor buaya air masin ketika memasang pukat di pesisir pantai Kampung Muhibah, di Miri, pagi semalam.

Dalam kejadian 7.30 pagi, lelaki berusia 37 tahun itu menyangka memperoleh 'ikan besar' sebelum menyedari seekor buaya yang 'melekat' di pukatnya.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri, Kapten Hazlee Shah Abd Hamid berkata, empat anggotanya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.43 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati buaya sepanjang dua meter berkenaan sudah diheret ke darat, namun reptilia itu masih dalam keadaan agresif.

"Selepas hampir 10 minit 'bergelut' dengan haiwan itu, anggota bertugas berjaya menutup mata dan mulut buaya berkenaan sebelum haiwan itu ditangkap," katanya.

Katanya, buaya berkenaan kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah( PKOD) Miri sebelum diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.

"Kebiasaannya, buaya yang ditangkap akan dihantar Taman Buaya di Kuala Baram," katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 4:01pm
d