global

Buta tidak halang main papan selaju

Madrid: Seorang lelaki buta membuktikan kecacatan tidak menghalang seseorang itu untuk menjalani kehidupan normal apabila dia masih mampu beraksi dengan papan selaju.

Dikenali sebagai The Blind Rider, Marcelo Lusardi, 20, mengalami satu penyakit genetik ganjil yang menyebabkan kedua-dua belah matanya buta sepenuhnya dua tahun lalu.

Lusardi pada mulanya mengalami masalah di mata kanan apabila sering ternampak seolah-olah ada kesan kotoran pada pandangannya sebelum terus hilang daya penglihatan pada kedua-dua belah matanya.

Pada mulanya, Lusardi yang juga pemain papan selaju tidak dapat menerima hakikat itu dan menyebabkan dia mengalami kemurungan yang teruk.

Bagaimanapun, atas dorongan bapa dan rakan-rakannya, akhirnya Lusardi mendapat semangat untuk meneruskan sukan yang dicintainya itu.

Tanpa menghiraukan kekurangan dirinya, Lusardi berlatih bermain papan selaju dengan menggunakan tongkat yang menjadi seperti ‘matanya’.

Dalam satu temu bual bersama Surferrule, Lusardi memberitahu, dia akan bertenang dan meletakkan dirinya pada kedudukan yang betul sebelum melakukan sesuatu aksi.

Dia juga akan memeriksa laluan yang bakal dilaluinya dan membiasakan diri dengan persekitaran sebelum meluncur. - Agensi

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 4:39am
d