mutakhir

'Menang atau kalah, aku tetap diva' [METROTV]

Oleh Maria Uffa Zulkafeli

CALON bebas bagi kerusi DUN Bukit Antarabangsa, Azwan Ali yang lebih dikenali sebagai Diva AA menyifatkan gelaran diva pada dirinya tidak akan tergugat walaupun menang atau kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Azwan antara pengundi awal yang hadir di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, di sini, dengan lengkap berjubah putih dan bersepatu berlainan warna merah dan putih.

“Kalah atau menang, saya tetap diva. Tak ubah apa- apa pun.

“Saya tidak yakin boleh menang tetapi apapun terserah kepada ketentuan Illahi dan bersedia dengan sebarang keputusan malam ini,” katanya selepas selesai mengundi.

Sebaik Azwan selesai mengundi 8.17 pagi, kelihatan abangnya, yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Antarabangsa hadir di pekarangan pusat pengundian berkenaan pada 8.25 pagi.

Ketika ditanya mengenai pakaian yang digayakannya ketika hadir pada pusat pengundian, Azwan berkata beliau memilih pakaian berwarna putih sebagai simbolik dirinya seorang yang ‘bersih’.

“Bagi saya warna putih dan merah (merujuk kepada kasut) melambangkan keperibadian yang penuh warna warni dalam kehidupannya.

“Cukup-cukup lah membuat provokasi, kehidupan perlu diteruskan walau siapa sahaja pemimpin yang dipilih pada PRU-14 kali ini,”katanya.

Terdahulu Azwan turut melahirkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati terhadap pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa tersalah label pada peti undi antara DUN dan Parlimen di saluran dua pusat pengundian berkenaan.

Azwan bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi DUN Bukit Antarabangsa menentang abangnya, Mohamed Azmin dari PKR dan tiga calon lain masing-masing Salwa Yunus (BN), Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS) dan Ahmad Kamarudin (PRM).

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 10:18am
d