mutakhir

Tiga ADUN BN di Johor sertai PPBM

Oleh Mohd Sabran Md Sani

TIGA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Johor, hari ini, mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mereka adalah ADUN Sedili, Rasman Ithnain; ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari dan ADUN Endau, Alwiyah Talib.

Rasman berkata, tindakan menyertai parti berkenaan demi untuk menjamin perpaduan Melayu dan rakyat.

“Tujuan kami bertiga (ADUN BN) mengadakan sidang media ini adalah demi perpaduan Melayu dan demi untuk rakyat.

“Insya-Allah, selepas ini nanti, kami akan mohon untuk masuk parti PPBM demi perpaduan Melayu dan rakyat,” katanya pada sidang media mengumumkan sertai PPBM di Johor Bahru.

Hadir sama, lebih 40 pemimpin dan ahli UMNO Bahagian Kota Tinggi.

Rasman berkata, tindakan sertai parti berkenaan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Ini keputusan kami dan dibuat dengan rela hati, tanpa ada ugutan atau desakan mana-mana pihak.

“Kami kena buat keputusan bijak, bahkan tindakan dibuat atas naluri kami. Kami tidak pernah dipaksa,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 2:14pm
d