mutakhir

Hari pertama Adly Zahari [METROTV]

Oleh Fairuz Zaidan

KETUA Menteri, Adly Zahari, memulakan tugas hari pertama sebagai pemimpin kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Melaka di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, pagi ini.

Ketibaan Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil tepat 8.30 pagi diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim, sebelum beliau melakukan ‘thumbprint’™ sebagai simbolik memulakan khidmat selaku ketua kerajaan negeri yang baharu.

Adly kemudian beramah mesra selama kira-kira 10 minit dengan kakitangan di Pejabat Ketua Menteri, sebelum mengadakan perbincangan secara tertutup dengan Roslan serta pegawai kanan di pejabatnya.

Petang ini, Adly dijadualkan akan mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, sebelum mengadakan satu sidang media yang dipercayai mengenai pelantikan EXCO kerajaan negeri yang baharu.

Adly mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-11 di hadapan Mohd Khalil, di Dewan Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri, Jumaat lalu, selepas PH memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan negeri selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

PH Melaka yang diterajui PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) memenangi 15 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) sekadar 13 kerusi DUN.

Melaka mempunyai keseluruhan 28 kerusi DUN.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 9:39am
d