mutakhir

Rokok seludup RM3.7j dalam kontena [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani\

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor melumpuhkan rangkaian pengedaran rokok seludup dengan rampasan terbesar tahun ini bernilai kira-kira RM3.696 juta dalam serbuan kontena di Jalan Mersing-Kota Tinggi, Sungai Ambat, Mersing, 30 April lalu.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani berkata, serbuan pada 11 pagi itu dilakukan hasil risikan selama tiga bulan oleh Cawangan Risik Zon Selatan Bahagian Penguatkuasaan JKDM, Mersing, di lokasi transit dan stor penyimpanan sementara rokok disyaki belum lulus kastam.

"Hasil pemeriksaan mendapati kontena sepanjang 6.1 meter dijadikan tempat penyimpanan 649 kotak rokok putih pelbagai jenama membabitkan 6.410 juta batang rokok.

"Nilai rampasan rokok berjumlah RM769,200, manakala cukai serta duti eksais ditaksirkan sebanyak RM2.927 juta," katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, rokok itu disimpan di dalam dan luar kontena berkenaan.

"Kami percaya rokok itu dibawa melalui jalan laut dan diseludup masuk menerusi pesisiran pantai sebelum diangkut serta disimpan sementara untuk diedarkan ke pasaran tempatan," katanya.

Menurutnya, tiada sebarang tangkapan dilakukan dalam serbuan itu dan ia dipercayai didalangi sindiket penyeludupan rokok dari negara jiran.

"Semua rokok itu disyaki untuk pasaran sekitar Johor, Kuala Lumpur dan Pantai Timur Semenanjung," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita Honda Jazz dipercayai kenderaan dari Singapura yang akan dilupuskan dan ia disyaki digunakan untuk mengangkut rokok berkenaan.

"Kesemua rokok serta kenderaan itu dibawa pulang ke Pejabat Kastam Mersing bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika didapati bersalah boleh didenda maksimum 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Gambar dan video Zain Ahmed

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 10:30pm
d