mutakhir

Pemandu, lima penumpang cedera bas 'terjun' longkang

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

PEMANDU dan lima penumpang cedera selepas bas henti-henti dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Jalan Permatang Manggis, Kepala Batas, hari ini.

Dalam kejadian pada 7.30 malam tadi, bas yang datang dari arah Taman Teluk Air Tawar Indah terbabit dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Nor berkata, bas terbabit turut melanggar tiang elektrik sebelum masuk ke dalam longkang berhampiran.

“Pemandu bas berusia 32 tahun cedera di dahi serta bahu kanan dan masih tidak sedarkan diri, manakala seorang penumpang berusia 29 tahun pula luka di siku kanan serta sakit pinggang. Mereka dirawat di Hospital Kepala Batas.

“Empat lagi penumpang berusia 20 hingga 62 tahun mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.

Beliau berkata, siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 11:31pm
d