mutakhir

Gaji pengerusi agensi berkanun, GLC disemak

Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Veena Babulal

TUN Dr Mahathir Mohamad mengarahkan gaji dan elaun pengerusi badan berkanun, suruhanjaya dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disemak semula.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, arahan itu dikeluarkan Perdana Menteri kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa pada mesyuarat Kabinet, hari ini.

Beliau berkata, arahan itu susulan isu gaji dan elaun Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang mencecah RM85,000 yang dibangkitkan beliau pada mesyuarat berkenaan.

Katanya, MAVCOM adalah badan yang beroperasi atas dana sendiri dan hanya menerima geran awal daripada kerajaan sebanyak RM90 juta bagi tempoh satu setengah hingga dua tahun, tanpa tambahan selepas itu.

“Gaji Pengerusi Eksekutif MAVCOM ketika suruhanjaya itu ditubuhkan pada 2016 adalah RM78,300 sebulan, kemudian diberi kenaikan tiga peratus pada 2017 dan lima peratus pada 2018, kepada RM85,000 sebulan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Loke berkata demikian ketika mengulas dakwaan gaji Pengerusi Eksekutif MAVCOM melebihi RM80,000 sebulan.

Menurutnya, buat masa, MAVCOM akan dikekalkan, namun ia tetap tertakluk kepada semakan semula.

Mengenai pembatalan projek Transit Aliran Massa (MRT) 3, beliau berkata, ia hanya membabitkan kos minimum dan kerja permulaan yang dijalankan juga sedikit.

Mengenai Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, Loke berkata, kerajaan komited untuk meneruskan projek itu, namum terma perjanjian akan disemak semula dan Kementerian Kewangan akan mencari jalan untuk mengurangkan kos.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Isa Samad sudah pun menyerahkan surat peletakan jawatan beliau dua hari lalu sebagaimana yang diminta.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 8:57pm
d