ekspresi

Minuman rasmi Harry Potter

Oleh Nurul Husna Mahmud

Peminat trilogi filem Harry Potter tidak boleh melepaskan peluang mengunjungi The Caravan Cafe di Bandar Baru Bangi, Selangor kerana menawarkan minuman ‘butter beer’.

Minuman itu menampilkan gimik buih putih gebu meletus di gigi cawan seperti yang biasa dilihat dalam kisah ahli sihir muda itu, tidak pula mengundang rasa gerun sebaliknya menarik minat pengunjung mencubanya.

Menurut pemilik kafe berkenaan Mohamad Amin Razak, minuman itu tercetus menerusi idea isterinya, Mumtaz Jihan Abdul Jalil yang juga peminat tegar kisah fantasi terbabit.

“Bagi yang tidak biasa mungkin janggal apabila mencuba butter beer kerana ada rasa ‘manis dan masin’.

“Minuman rasmi di ‘Hogwarts’ itu mempunyai rasa lemak masin mentega menerusi sirap ‘butter scotch’ dihasilkan saya bersama isteri selain soda memberi aroma manis dan lembut. Ramai pengunjung memesan butter beer terhibur dan menyukai rasa unik minuman ini,” katanya.

Turut menarik dalam senarai menu disajikan kafe berkenaan ialah butter milk chicken bersama saduran sos mentega yang likat mampu memenuhi selera penggemar hidangan itu.

“Rata-rata pelanggan memesan sajian butter milk chicken turut dihidang bersama nasi dan salad menyifatkan sajian itu antara menu wajib perlu dicuba.

“Malah kafe ini pernah tular tidak lama dulu disebabkan satu blog makanan menamakan kafe kami antara restoran terbaik dalam menyajikan hidangan berkenaan di Lembah Klang dan Selangor.

“Menu lain yang menjadi pilihan ramai ialah sotong telur masin, hidangan pasta, salmon mahupun sandwich untuk pelanggan yang mahukan sajian lebih ringkas dalam diet mereka,” katanya.

Menawarkan harga sekitar RM9 hingga RM29 untuk 30 seleksi menu ditawarkan, ia berpatutan dengan saiz hidangan yang cukup besar hingga boleh dinikmati dua orang.

Bukan setakat itu, pengunjung boleh memilih pelbagai pilihan kek dan pencuci mulut. Antara yang boleh dicuba ialah kek pandan gula Melaka, tart keju Nutella dan tart keju mangga. Ia menjadi penutup hidangan sempurna ketika menikmati sajian berkenaan bersama kenalan mahupun keluarga.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 10:51am
d