mutakhir

Pastikan amil bertauliah

Oleh Azahar Hashim

ORANG ramai dinasihatkan membuat pembayaran zakat kepada amil yang ditauliahkan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk melakukan kutipan zakat fitrah.

Ketua Pegawai Eksekutif (LZNK) Zakaria Othman berkata, pada tahun lalu pihak LZNK menerima tujuh kes mengenai amil yang tidak dilantik secara rasmi mengutip zakat fitrah di negeri ini.

Katanya, pihaknya memandang serius perkara ini dan mereka yang terbabit sudah diberi amaran serta sesi penerangan.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya bayarlah zakat atau zakat fitrah kepada amil yang dilantik secara rasmi oleh LZNK yang ada di setiap masjid di negeri ini.

"Lebih 3,200 amil yang dilantik di seluruh negeri Kedah untuk mengutip zakat fitrah dan mereka yang membayar zakat fitrah pula akan menerima resit rasmi yang dikeluarkan LZNK.

"Setiap masjid diberi tanggungjawab untuk menguruskan amil dalam kariah mereka bagi menjalankan kutipan zakat fitrah sama ada di masjid, kompleks beli belah atau kawasan tumpuan orang ramai," katanya kepada media selepas majlis penyerahan bantuan mangsa banjir di daerah Kulim di Masjid Al Itihad Sungai Kob, Kulim, hari ini.

Majlis penyampaian bantuan itu disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Salehuddin.

Turut berangkat Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazudin Ariff Sultan Sallehuddin, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Che Nai dan pegawai kanan kerajaan.

Zakaria berkata, LZNK tidak mahu orang ramai membayar zakat fitrah kepada pihak yang tidak sepatutnya kerana tidak tahu hasil kutipan itu diuruskan.

“Tahun ini, LZNK menyediakan tiga kadar untuk orang ramai membayar zakat iaitu mengikut kaedah beras yang dimakan oleh orang ramai.

"Pertama RM7 iaitu beras tempatan 5 peratus, kedua RM14 beras import dan ketiga RM21 beras basmathi di mana cara pembayaran ini mengikut tuntutan syarak iaitu dengan kadar beras yang dimakan," katanya.

Terdahulu pada program itu, seramai 850 keluarga mangsa banjir menerima bantuan bencana sebanyak RM500 seorang termasuk sebuah kotak Kit Bencana membabitkan peruntukan RM426,000.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 3:20pm
d