utama

Karya Asfan buruan produser drama

Oleh Michelle Gun

Karyanya pernah diangkat sebagai lagu tema beberapa drama bersiri popular tanah air dan terbaru, Cinta Fatamorgana terbitan TV3.

Memandangkan lagu berkenaan menjadi siulan ramai, penyanyi dan komposer Asfan Shah sering didampingi produser yang mahu dia menghasilkan OST.

Bagi penyanyi berusia 33 tahun ini, kelebihan itu dianggap sebagai rezeki dan promosi percuma bagi mengetengahkan karyanya kepada pencinta muzik.

“Tak perlu susah payah buat promosi dan mula dari kosong untuk memperkenalkan lagu kepada pendengar.

“Ada juga lagu tidak menjadi OST tetapi ada diperdengarkan dalam drama dan sudah cukup bagus bagi saya,” katanya.

Namun begitu, Asfan mendedahkan ada pelanggannya meletakkan harapan tinggi agar karya dihasilkan diangkat menjadi OST drama.

“Apa yang menakutkan apabila ada pelanggan datang dan menyuarakan hajat seperti itu.

“Terus terang, belum tentu lagu dihasilkan akan dipilih sebagai OST dan bergantung kepada nasib. Saya cuma menghasilkan lagu berdasarkan kesesuaian jalan cerita drama,” ujarnya.

Berkongsi lanjut karier muziknya, Asfan merancang mengumpul semua lagu dendangannya termasuk OST dalam satu album.

“Album ini dijangka dilancarkan tahun depan dan mungkin memuatkan 12 lagu. Selain itu, ada beberapa lagu akan disusun semula,” katanya.

Perlu tonjol ekspresi wajah

Dalam perkembangan lain, Asfan sibuk dengan penggambaran telefilem Formula Cinta yang akan menemui penonton di saluran ntv7, Julai ini.

Berkongsi pengalaman sulungnya sebagai pelakon, Asfan berkata wataknya sebagai figura awam mencabar kerana perlu banyak bermain dengan ekspresi wajah.

“Sebelum ini, saya pernah cakap tidak minat berlakon kerana belum bersedia.

“Namun, selepas beberapa hari penggambaran, saya dapati kerja ini menyeronokkan walaupun penat.

“Watak saya sebagai penyanyi tetapi dialog tidak banyak dan lebih kepada ekspresi muka. Saya perlu sentiasa berlagak ‘cool’ dan tampan.

“Jadi, agak sukar untuk saya berlakon seperti itu kerana jenis yang bercakap banyak,” katanya.

Penyanyi Sumpah Cintaku itu turut mengakui pada mulanya risau lakonannya akan merosakkan jalan cerita berikutan menjadi antara pelakon utama karya terbabit.

“Bagaimanapun, pengarah memberitahu akan membimbing saya. Malah, rakan artis turut beri tunjuk ajar.

“Babak pertama memerlukan saya joging di Putrajaya dan ia memenatkan kerana berpuasa.

“Sewaktu buat latihan, saya lakukan beberapa kali. Sampai hari kelima penggambaran, saya mula menjiwai watak,” katanya.

Ujar Asfan, dia mendapat beberapa tawaran berlakon dan terbuka mencuba pelbagai watak.

“Buat masa ini, saya belum memberi sebarang persetujuan lagi. Saya tidak kisah bawa apa sahaja watak dan lagi seronok kalau dapat yang berbeza dengan karakter sebenar.

“Selepas telefilem ini, saya akan mengasah skil lakonan supaya dapat memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Tidak kisah dikecam netizen

Dalam pada itu, Asfan memberitahu sudah bersedia berdepan kritikan netizen terhadap lakonannya nanti.

“Pengurus ada bertanya saya mengenai perkara ini. Mahu atau tidak, saya terpaksa bersedia kerana pengguna media sosial bukan seperti belasan tahun lalu,” katanya.

Asfan menganggap situasi sedemikian sebagai lumrah hidup memandangkan sudah lama berkecimpung dalam industri hiburan.

“Saya mencari rezeki untuk menyara keluarga. Kalau ada yang kecam, secara tidak langsung memberi publisiti kepada saya.

“Dari sudut positif pula, kritikan netizen boleh membantu saya memperbaiki bakat lakonan.

“Justeru, saya membiarkan penonton dan penyokong menilai persembahan saya dalam Formula Cinta,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 3:06am
d