bisnes

Misi EcoWorld

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Kuala Lumpur: EcoWorld International Bhd yakin dapat mengukuhkan kedudukannya di United Kingdom khususnya melalui EcoWorld London iaitu syarikat usaha sama dengan Willmott-Dixon.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld International Datuk Teow Leong Seng berkata, EcoWorld London membolehkannya mengukuhkan kehadiran dan kedudukan di United Kingdom yang menjadi pasaran global utama untuk pelaburan hartanah.

“Kami memiliki tujuh tapak projek baru di Greater London. Bersama-sama dengan pasukan berdisiplin dan berpengalaman, ia akan membolehkan kami mencapai sasaran.

“Empat daripada tapak baru adalah projek aktif dikenali Kensal Rise, Millbrook Park, Nantly House dan Aberfeldy Village dengan sebahagian kecil akan dilancarkan dan diserahkan pada 2018 dan 2019,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Teow berkata, projek berkenaan akan menambah aliran pendapatan syarikat dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

“Kami berusaha melancarkan dan menjual komponen lain bagi menyumbang ke arah sasaran jualan tahun kewangan 2018 sebanyak RM3 bilion daripada projek di United Kingdom dan Australia,” katanya.

Sementara itu, menurutnya EcoWorld International memiliki jualan belum dibilkan RM6.1 bilion setakat 31 Mei 2018, sekali gus menjadi asas kukuh kepada syarikat meningkatkan perolehan masa depan.

Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun kewangan 2018, EcoWorld International mencatatkan jualan RM698 juta dengan projek di London menyumbang RM546 juta, manakala Australia (RM152 juta).

Dalam laporan kewangan interim kepada Bursa Malaysia, EcoWorld International berkata, separuh kedua tahun kewangan 2018 menjadi tempoh penting kepada syarikat menerusi penyerahan blok kediaman di London City Island dan Embassy Gardens yang dijangka mulai bulan depan.

“Ia membolehkan kumpulan menerusi syarikat usaha sama masing-masing meraih bahagian besar dalam jualan belum dibilkan ke atas pendapatan dan membolehkan kumpulan meraih keuntungan sulungnya dalam tahun kewangan semasa.

“Projek berkenaan dijangka meningkatkan lagi keuntungan kumpulan tahun depan. Selain itu, projek Wardian, West Village dan Yarra One juga akan menyumbang kepada keuntungan kumpulan dalam tahun kewangan 2020,” katanya.

Bagi Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia), ia turut mengumumkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) menerusi operasi di Malaysia melonjak kepada RM81.3 juta pada suku kedua, naik 30.9 peratus daripada RM62.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Disiarkan pada: June 30, 2018 @ 2:53am
d