mutakhir

[UPDATE] Suspek bunuh ibu bebas dadah, alkohol

Oleh Norrasyidah Arshad

SUSPEK kes bunuh ibu kandung di Taman Langat Utama, Rancangan Tanah Belia (RTB) Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat, semalam, didapati bebas daripada pengaruh dadah dan alkohol.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, ujian air kencing dan darah dilakukan terhadap suspek berusia 20 tahun itu adalah negatif bahan terlarang.

“Kami masih dalam siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu berikutan suspek masih dalam keadaan tidak waras.

“Hasil bedah siasat terhadap mangsa yang dijalankan di Hospital Banting semalam mendapati wanita itu meninggal dunia akibat tusukan pisau pada kepala dan paru-paru,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman seminggu bermula hari ini hingga Jumaat depan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, NSTP melaporkan seorang ibu maut dalam keadaan menyayat hati selepas ditikam anak keenamnya.

Kejadian hanya disedari suami dan seorang lagi anak mangsa yang berusia 12 tahun selepas mereka pulang apabila selesai solat Jumaat pada 2.10 petang.

Ketika ditemui, mangsa berusia 50 tahun itu sudah tidak sedarkan diri selain tiga kesan tikaman ditemui pada kepala dan dada mangsa.

Berita berkaitan

'Ibu temui ajal ditikam anak kandung'

Disiarkan pada: June 30, 2018 @ 1:37pm
d