mutakhir

Kerana basikal antik...

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

LELAKI ditahan pihak polis kerana menyebabkan kematian penunggang basikal warga emas di Jalan Walker, Pokok Assam, Taiping, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, dalam kejadian kira-kira 4.00 petang itu, suspek lelaki berusia 34 tahun dikatakan mencuri basikal antik yang ditunggang mangsa dengan menarik basikal terbabit.

Menurutnya tindakan suspek telah menyebabkan mangsa terjatuh dan suspek melarikan diri bersama basikal yang dicuri.

"Susulan kejadian, mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.00 pagi Rabu lalu, sewaktu menerima rawatan di Hospital Taiping.

"Pada 10.00 pagi tadi pihak polis berjaya mengesan dan menahan suspek di Klinik Kesihatan Tupai, Taiping.

"Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terbabit di dalam kes tersebut dan basikal mangsa berada di rumahnya," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya lagi motif suspek melakukan perbuatan disebabkan tertarik dengan basikal antik yang ditunggang mangsa dan tidak menyangka tindakannya itu menyebabkan kematian mangsa.

" Siasatan masih lagi diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2018 @ 6:37pm
d