mutakhir

Yahaya Ali dilantik YDP DUN Terengganu

Oleh Helmy Abd Rahman

TIMBALAN Pesuruhjaya PAS III Terengganu, Yahaya Ali mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini sekali gus mengesahkan desas-desus pelantikannya, sebelum ini.

Yahaya, 60, mengangkat sumpah jawatan itu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada jam 9.40 pagi.

Pemilihan Yahaya sebagai Yang Dipertua DUN baharu dicadangkan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat.

Beliau adalah Yang Dipertua PAS Marang dan pernah menjadi ADUN Alur Limbat serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi tempoh sepenggal iaitu dari 1999 hingga 2004.

Selepas pelantikan itu, semua 32 ADUN didahului ADUN Ru Rendang yang juga Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan 10 wakil pembangkang dari Barisan Nasional (BN) mengangkat sumpah ADUN.

Mengulas pelantikannya, Yahaya berkata, beliau mempunyai misi untuk melihat perjalanan DUN diuruskan secara profesional.

Katanya, perkara itu dapat direalisasikan bermula daripada sikap ADUN yang seharusnya faham bahawa mereka adalah anggota legistatif.

“Saya mahu melihat ADUN yang berwibawa dengan membuat kajian teratur mengenai isu yang hendak dibangkitkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 2:44pm
d