nuansa

Robot industri angkut barang

Oleh Fazurawati Che Lah

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Yeong Che Fai membuktikan produk penyelidikan yang dihasilkan penyelidik dari universiti tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Dalam usaha menyahut seruan UTM untuk mengkomersialkan produk penyelidik, Dr Yeong dan dua bekas mahasiswanya menubuhkan syarikat DF Automation & Robotics Sdn Bhd (DF).

Menerusi bantuan Ricky Yap Wee Yang dan Tan Ping Hua, syarikat yang beroperasi di Taman Impian Emas, Skudai, Johor itu menghasilkan robot untuk kegunaan industri bagi mengangkut barang (Automated Guided Vehicle (AGV) yang dikenali dengan jenama ZALPHA.

“Robot industri ini boleh bergerak ke lokasi ditetapkan mengikut garisan magnetik yang dipasang pada lantai dan sesuai digunakan dalam industri pembuatan, tekstil, automotif, makanan, pergudangan dan pengoperasian hospital.

“Sejak ditubuhkan pada 2012, lebih 200 unit AGV dikeluarkan dan berjaya menembusi pasaran di Singapura, Thailand, India, Mexico, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” kata Dr Yeong yang juga Pengerusi DF.

Beliau berkata, robot itu dilengkapi teknologi terkini, reka bentuk fleksibel, mudah diselenggarakan dan dikuasakan oleh perisian NavWiz yang mudah digunakan dan sesuai dengan keupayaan Revolusi Industri 4.0.

Katanya, DF memenangi beberapa anugerah termasuk daripada Frost & Sullivan Award dan Asia Pacific ICT Alliance Awards (APICTA).

Produk yang dibangunkan adalah hasil penyelidikan pakar dari Malaysia dan menggunakan teknologi tempatan sementara harga yang tawarkan sangat berpatutan sesuai dengan spesifikasi robot dibekalkan.

“Fungsi robot yang kami keluarkan adalah pelbagai dan boleh diubah mengikut keperluan pelanggan.

“Kami juga menyediakan khidmat selepas jualan dan pembaikan bagi mengekalkan kualiti produk di mata pelanggan,” katanya.

Usaha yang dijalankan DF selaras dengan hasrat kerajaan menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada lepasan universiti.

Selain menyediakan peluang pekerjaan, syarikat berkenaan juga menjadi tempat penuntut universiti, khususnya UTM menimba pengalaman bekerja di industri sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar selepas menamatkan pengajian.

Hingga kini, 70 peratus tenaga kerja di syarikat berkenaan lepasan UTM dan langkah berkenaan adalah satu pengiktirafan terhadap mutu pendidikan UTM, terutama dalam bidang teknologi robotik.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 11:52am
d