nuansa

30 juta pengunjung setiap tahun

Oleh Hafiz Ithnin

Bagi mereka yang melalui kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, pasti tidak akan terlepas pandang kemeriahan Bukit Bintang yang mempunyai pelbagai tarikan papan tanda produk jenama mewah.

Malah, kewujudannya di tengah bandar raya juga menjadi daya tarikan orang ramai termasuk pelancong asing untuk melihat sendiri tawaran membeli-belah yang terdapat di situ.

Nama, Pavilion Kuala Lumpur (Pavilion) pula bukan sesuatu yang asing kerana ia boleh dikatakan antara mercu tanda pusat membeli-belah premium di kota metropolitan ini.

Ia dikenali sebagai antara pusat beli-belah berkaitan fesyen tempatan dan antarabangsa selain pada masa sama tahun ini bakal memasuki tahun keenam sebagai lokasi penganjuran Minggu Fesyen Kuala Lumpur.

Seperti diketahui umum, minggu fesyen yang dianjurkan sememangnya mempunyai potensi besar bagi menarik kehadiran pelancong biasa dan juga dalam segmen korporat memandangkan ia menjadi platform perdagangan antara pemain industri terbabit.

Dimaklumkan juga, Pavilion menerima kira-kira 30 juta pengunjung setiap tahun dan namanya begitu sinonim sebagai destinasi fesyen di Malaysia.

Pengarah Pemasarannya, Kung Suan Ai berkata, memandangkan nama pusat membeli-belahnya begitu terkenal sebagai destinasi fesyen antarabangsa, penganjuran Minggu Fesyen Kuala Lumpur diadakan setiap tahun di Pavilion dilihat sebagai sesuatu yang ideal.

Beliau berkata, menjadi lokasi penganjuran acara itu juga adalah salah satu strategi pemasaran untuk memberi pelbagai pengalaman kepada pengunjung ke pusat membeli-belah itu.

“Selain itu, kami juga menjadi destinasi di mana orang ramai boleh berkumpul untuk menyambut festival atau perayaan dengan penyewa perniagaan di sini menawarkan pelbagai produk yang sesuai dengan sambutan berkenaan.

“Setakat ini terdapat 600 kedai yang beroperasi di Pavilion terdiri daripada pelbagai segmen industri termasuk fesyen yang dilihat mampu memberi kepelbagaian pilihan kepada pengunjung serta pelancong yang datang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Pusat beli-belah itu tidak hanya menawarkan produk atau jenama terkemuka antarabangsa memandangkan terdapat 20 peratus penyewa lot perniagaan terdiri daripada pemain industri fesyen dan gaya hidup tempatan premium.

Katanya, jenama tempatan premium itu juga mempunyai peminat mereka tersendiri dan memberi lebih banyak pilihan serta pengalaman kepada pengunjung untuk berbelanja.

Pada tahun ini, pusat beli-belah itu menyambut ulang tahunnya ke-10 dengan mengetengahkan tema Melawat Pavilion 2018. Sempena sambutan ulang tahun itu juga, pusat beli-belah terbabit turut mengangkat konsep menjadikan Pavilion sebagai destinasi membeli-belah, makan dan bersantai paling diimpikan pengunjung.

Kung berkata, bagi merancakkan lagi pilihan orang ramai ke Pavilion, pihaknya juga sentiasa mempelbagaikan penyewa yang mempunyai jenama menarik dan terbaik.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 10:17am
d