mutakhir

PRK Sungai Kandis: Medan ujian buat UMNO

Oleh A Tharanya

UMNO perlu meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis dengan menggunakan logo parti itu, dan bukan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesediaan UMNO bertanding dalam PRK itu amat penting bagi menguji diri sebagai pembangkang buat pertama kali.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan, saya sudah mencadangkan (UMNO menyertai PRK Sungai Kandis) kepada Presiden parti dan perkara ini akan dibincangkan pada peringkat Majlis Tertinggi.

“Ramai yang menyuarakan pendapat supaya (UMNO) tidak bertanding dalam PRK. Namun, saya berpendapat ini adalah masa terbaik untuk kami memantapkan semula kedudukan sebagai parti politik yang kukuh dan berkemampuan.

“Orang ramai berpendapat kami (UMNO) tidak lagi wujud selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Kami perlu kelihatan hidup,” katanya selepas program Wacana Sinar Ke-64 bertajuk Mampukah BN Bangkit Semula? di Shah Alam, hari ini.

Mohamad mencadangkan supaya calon parti itu bertanding di bawah payung UMNO untuk 'menguji' selepas kekalahan BN mendapatkan undi popular pada PRU-14.

Beliau juga menekankan keperluan untuk membina 'produk' baharu yang boleh diterima oleh orang ramai dengan baik.

“Saya akan bawa cadangan ini kepada mesyuarat. Ia perlu dibincangkan oleh kepemimpinan BN sama ada kita patut bertanding dengan tiket BN atau UMNO. Tetapi UMNO perlu kuat. Ia adalah kekuatan BN.

“BN gagal dalam PRU-14. Justeru, kita perlu menguji produk baharu yang boleh diterima kepada rakyat. Kita perlu menguji sama ada UMNO diterima baik dalam kalangan rakyat.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga PRU-15 untuk menilai kebolehan kita. Ia akan menjadi terlalu lambat. Kita perlu menyertai setiap PRK. Ini akan menjadi latihan untuk kempen UMNO sebagai parti pembangkang,” katanya.

Ditanya sama ada parti itu mempunyai calon berpotensi untuk bertanding dalam PRK Sungai Kandis, Mohamad berkata, beliau tidak mengetahui perkara berkenaan kerana ia bukan kawasannya.

Katanya, calon yang dipilih perlu memiliki kebolehan dan kredibiliti, bukan semata-mata individu itu adalah Ketua Bahagian.

“UMNO Selangor perlu membuat keputusan siapa calon untuk bertanding dalam PRK itu. Tetapi saya cadangkan, letakkan calon berkaliber tinggi.

“Kita perlu memberi peluang kepada mereka yang benar-benar boleh melaksanakan tanggungjawab dan boleh menang,” katanya.

Katanya, beliau berkeyakinan masyarakat Melayu masih mahu melihat UMNO sebagai sebuah parti yang kuat, selain menyifatkan kekalahan parti itu akibat pemimpin yang gagal memimpin dengan berintegriti.

“Kita mempunyai seorang pemimpin yang terpalit dengan skandal. Jika kita mempunyai pemimpin yang jujur, telus dan boleh dipercayai, saya yakin kita boleh menang,”

katanya.

PRK Sungai Kandis akan diadakan pada 4 Ogos ini dengan penamaan calon dibuat pada 21 Julai nanti.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 8:46pm
d