mutakhir

Tak buat pusingan U berhubung isu UEC - Maszlee

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

KEMENTERIAN Pendidikan tetap akan melaksanakan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya tidak akan melakukan pusingan U atau ‘flip-flop’ terhadap manifesto yang dijanjikan.

“Kita tidak bercanggah kerana kita bersetuju berhubung manifesto berkenaan.

“Apa yang kita lakukan ialah kita akan memastikan apa saja polisi dibuat dan keputusan diambil, tidak ada pusingan U atau flip-flop dan ia mesti holistik,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di Putrajaya, semalam.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Ditanya mengenai tempoh yang diambil berhubung pengiktirafan itu, beliau berkata, ia tidak mengambil masa sehingga 60 tahun seperti Barisan Nasional (BN).

“Manifesto ada di situ, jadi saya tidak fikir sebarang percanggahan. Percanggahan itu hanya di dalam BN.

“UMNO cakap lain, Datuk Seri (Dr) Wee Ka Siong (Timbalan Presiden MCA) cakap lain. MCA cakap lain dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Ketua Pemuda UMNO) cakap lain, mereka bercanggah,” katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 4:19pm
d