agro

Tingkat daya saing industri getah negara

Oleh Mohamad Hussin

Penyelidikan jangka panjang bagi memastikan industri getah negara kekal relevan merangkumi beberapa teknologi penting dalam sektor barangan getah.

Ia dapat meningkatkan permintaan getah asli daripada industri pengilangan di samping memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

Justeru, Kementerian Industri Utama melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) sentiasa berusaha menggunakan kaedah baru untuk membangunkan industri getah termasuk melalui penyelidikan yang membabitkan aktiviti huluan.

Menterinya, Teresa Kok berkata, pencapaian industri getah di Malaysia bagi tahun 2017 menunjukkan industri itu kekal menjadi penyumbang ekonomi yang penting bagi negara dengan sumbangan pendapatan eksport sebanyak RM32.3 bilion.

Beliau berkata, kerajaan baru di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D)

yang dilaksanakan LGM demi meningkatkan pendapatan taraf hidup pekebun kecil serta penoreh getah.

“Kerajaan akan terus menjaga dan menjamin kesejahteraan serta kebajikan golongan sasar membabitkan kira-kira 500,000 pekebun kecil dan penoreh getah di peringkat huluan selain 75,136 guna tenaga di peringkat hiliran.

“Galas seismik umpamanya sudah digunakan di serata dunia dalam aplikasi bangunan dan struktur besar seperti jambatan serta bangunan bagi mengurangkan kesan gempa bumi.

“Selain itu, jalan raya menggunakan getah (rubberised road) juga diperkenalkan dan hasil kajian awal terbukti dapat meningkatkan daya ketahanan jalan raya yang lebih tinggi serta menjimatkan kos penyelenggaraan berbanding jalan raya konvensional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Industri Getah Kebangsaan 2018 di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini. Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah LGM, Dr Zairossani Mohd Nor.

Teresa berkata, berdasarkan kajian LGM, sejumlah 4.2 tan getah ‘cuplump’ diperlukan untuk turapan setiap satu kilometer (km) jalan raya, sekali gus dapat meningkatkan permintaan getah asli, membantu menstabilkan harga getah dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta penoreh getah.

“Dalam era globalisasi dan liberalisasi perdagangan yang pesat, salah satu cabaran yang dihadapi sektor komoditi kita ialah bagaimana untuk meningkatkan daya saing sektor ini.

“Dalam hal ini, saya ingin menekankan bahawa usaha dan langkah bagi meningkatkan daya saing sektor ini hendaklah dilaksanakan pada keseluruhan rantaian nilai meliputi peringkat aktiviti huluan serta juga hiliran.

“Di peringkat huluan yang perlu diberi perhatian ialah keperluan meningkatkan produktiviti dan kecekapan serta mengurangkan kos pengeluaran,” katanya.

Menurutnya, peningkatan produktiviti harus dijalankan secara berterusan melalui pengeluaran bahan tanaman berkualiti. Memandangkan keluasan tanah pertanian negara adalah terhad, langkah ini tentu sekali akan dapat menambahkan hasil pengeluaran.

“Satu lagi masalah yang dihadapi industri getah Malaysia ialah kekurangan tenaga kerja terutama dalam kalangan generasi muda. Saya menyeru penggiat industri sektor huluan dan hiliran supaya meningkatkan tahap mekanisasi dan automasi pengeluaran getah.

“Selain aktiviti nilai tambah dan pembangunan produk baru, kita juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

“Bagi meningkatkan daya saing, produk yang dikeluarkan haruslah inovatif, kompetitif dan berorientasikan pasaran global. Industri getah juga hendaklah dinamik dan progresif,” katanya.

Katanya, ia sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan dan kemampuannya bagi menjamin hasil produk memenuhi cita rasa, keperluan dan permintaan pengguna sama ada di pasaran domestik mahupun antarabangsa.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 12:53pm
d