mutakhir

298 terima darjah Perlis

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

Arau: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mendahului senarai 298 penerima darjah serta pingat kebesaran sempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-75, tahun ini.

Baginda akan menerima Darjah Kerabat Tuanku Syed Putra Jamalullail (DK) dalam suatu istiadat khas yang akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan Lah dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri yang dikurniakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, sempena istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Arau di sini, semalam.

Raja Perlis turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 33 lagi individu pada majlis sama.

Antaranya Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Asma Ismail yang dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Lima individu menerima Darjah Datuk Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang membawa gelaran Datuk ialah bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis, Ahmad Bakri Ali; Ahli Jawatan Kuasa Kewangan Majlis Agama Islam Perlis, Datuk Ir Wan Ab Ghaffar Wan Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Zulfikri Osman; Panglima 1 Divisyen Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Toh Choon Siang dan Komander Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Zarondin Md Amin.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 10:19am
d