mutakhir

PAS beri laluan sahaja

Oleh Dawn Chan

BARU tiga hari Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berjalan, Barisan Nasional (BN) kelihatan berdepan halangan apabila satu lagi parti pembangkang, PAS, enggan menghulurkan bantuan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir menegaskan semalam, parti itu tidak akan membantu kempen calon BN, Datuk Lokman Noor Adam untuk merampas kerusi DUN itu dari PKR.

Roslan berkata demikian walaupun PAS memberi laluan kepada BN untuk bertanding dalam PRK itu yang diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Roslan turut berkata, PAS Selangor tidak akan berganjak kerana keputusannya tidak meletakkan calon pada PRK itu dibuat atas persefahaman bersama dengan BN dan ia tidak lebih daripada kerjasama sebagai blok pembangkang.

Rayuan Lokman untuk mendapatkan bantuan daripada PAS tidak diendahkan, walaupun beliau tegas mahu bertemu pemimpin setempat parti itu di Sungai Kandis.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, dilaporkan mahu berbincang dengan kepemimpinan di bahagian dalam usahanya meyakinkan PAS untuk terbabit sama dengan jentera kempen BN.

Langkah PAS Selangor itu seperti menyatakan penyelesaian aman yang ditawarkan parti itu hanya untuk membenarkan BN bertanding dalam PRK dan ia memberi isyarat jelas parti itu tidak berminat serta ada sebarang kaitan dengan gabungan pembangkang.

Tindakan PAS itu tidak memeranjatkan pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan, yang menyifatkan tindakan itu sebagai keputusan taktikal yang diambil pemimpin parti.

"PAS kelihatan yakin bahawa BN tidak saja akan kalah dalam PRK itu. PAS juga yakin jumlah undi majoriti yang diperoleh penyandang (Mat Shuhaimi) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan meningkat pada PRK ini.

"Berdasarkan kepada itu, saya menganggapkan PAS mahu mengenepikan sebarang dakwaan bahawa ia menyokong BN sepanjang kempen. Saya mahu menganggap bahawa PAS, selepas PRK ini, boleh secara selamat menyatakan mereka tidak terbabit secara langsung dan keputusan itu tidak akan diterjemahkan kepada kemerosotan sokongan pengundi kepada mereka," katanya kepada The New Straits Times Press.

Dalam PRU-14, kerusi Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusi itu, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari, calon PAS Mohd Yusof Abdullah dan Hanafiah Husin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Mat Shuhaimi memenangi 23,998 undi, dengan majoriti 12,480, mengalahkanKamaruzzaman yang memperoleh 11,518 undi. Mohd Yusof menerima7,573 undi manakala Hanafiah hanya mendapat 76 undi.

PRK ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Lokman (BN) dan calon Bebas, K Murthy.

• Lagi

berita PRK Sungai Kandis

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 8:33am
d