mutakhir

Najib lawat Sungai Kandis [METROTV]

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim dan Tharanya Arumugam

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengunjungi bilik gerakan Barisan Nasional (BN) bagi membantu calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam.

Najib tiba pada jam 8.40 pagi dan disambut lebih 100 penyokong termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan serta Lokman.

Penyokong turut mengambil kesempatan bergambar dengan Najib dan menyertai bekas Perdana Menteri itu bersarapan pagi.

Najib kemudiannya dikejutkan dengan kek sempena sambutan ulang tahun kelahirannya daripada pimpinan UMNO Kapar.

Sambutan itu diiringi dengan lagu ‘€˜Allah Selamatkan Kamu’€™.

Beliau kemudian mengadakan kunjungan kasih ke 10 rumah penduduk di Kampung Sungai Kandis.

Selain melawat 10 kediaman penduduk, bekas Perdana Menteri itu dijadualkan makan tengah hari di rumah Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari sebelum menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Muhsinin di Shah Alam.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru itu turut membabitkan calon Bebas, K Murthy.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah (76 undi).

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 11:59am
d