itmetro

Sekolah digital

Oleh Afiq Hanif

Perubahan pendidikan seiring dunia moden bukan topik baru yang diperkatakan namun kita perlu diingatkan mengenai pentingnya asas membina polisi berkaitan digital terutama jika membabitkan persekolahan.

Asasnya masih sama seperti digariskan sekolah bestari apabila mula diperkenalkan pada 1999.

Kini, sekolah bestari boleh ditukar kepada sekolah digital atau mendigitalkan sekolah bukan saja usaha meningkatkan kadar celik teknologi maklumat (IT) dalam kalangan rakyat selain merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar malah ia pemangkin kepada masa depan pelajar terbabit.

Ia adalah usaha memastikan tugas koordinasi sistem pengajaran, pembelajaran serta pengurusan terhadap sekolah berlandaskan teknologi komunikasi dan maklmuat (ICT) dijalankan dengan lebih sistematik.

Dalam pada itu, agensi kerajaan berkaitan atau syarikat pemula (startup) perlu bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dalam mengawas serta mewujudkan nilai tambah kepada program itu.

Pelaksanaan projek sekolah digital berasaskan titik tolak kepada persediaan menghadapi era sains dan teknologi.

Sekolah digital menjadi institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh dari segi amalan pengajaran-pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu pelajar menghadapi zaman maklumat moden.

Jika diteliti daripada objektif sekolah digital, sasaran utama projek ini adalah pelajar. Oleh itu, pelaksanaan projek rintis ini adalah langkah awal yang terbaik untuk memenuhi permintaan tenaga kerja mahir pada zaman Revolusi 4.0.

Selain itu, peranan ibu bapa penting kerana proses sekolah digital memerlukan tenaga kerja yang bukan saja mahir menggunakan perkakasan ICT tapi kebijaksanaan menyediakan idea pembelajaran berkesan.

Sistem sekolah bestari ini diperkuatkan lagi apabila lahirnya startup yang membantu meningkatkan kualiti dan memenuhi objektif pelaksanaannya.

Sekolah digital mengandungi institusi pembelajaran yang direka semula secara sistematik dari segi amalan pengajaran-pembelajaran dan pengurusan

sekolah untuk membantu kanak-kanak menghadapi zaman maklumat menggariskan komponen utama.

Antaranya, pengajaran dan pembelajaran (P&P), polisi, sistem pengurusan sekolah digital, sumber manusia, kemahiran dan sikap, teknologi dan proses.

Usaha meningkatkan sekolah digital memerlukan kerjasama erat antara tenaga pengajar dan pelajar bagi memberikan hasil positif bukan saja dalam aspek pembelajaran malah menambah nilai keberkesanan ilmu digital untuk generasi akan datang.

Sekolah digital memiliki kelebihan kerana mereka dilengkapi sistem pembelajaran menggunakan ICT yang berkeupayaan meningkatkan daya saing dalam dunia pembelajaran moden.

Ia secara tidak langsung menawarkan aspek tambahan kepada pelajar yang akan berminat untuk mendalami ilmu menggunakan medium pembelajaran lebih interaktif.

Namun, ia memerlukan tenaga pengajar yang perlu memahami pembelajaran melalui ICT bukan bermakna pelajar dibimbing dalam keadaan terhad, contohnya cikgu meminta pelajar membuat karangan menggunakan aplikasi yang berkaitan industri kerja tapi dalam kaedah menyeronokkan.

Sasaran utama sekolah digital seharusnya memberi peluang pelajar lebih kreatif dan bebas memberi idea sesuai dengan konsep ICT.

Kita mempunyai modul sedia ada mampu menarik minat pelajar mendalami ilmu malah ia bagai sistem dua dalam satu apabila pelajar bukan saja tertarik untuk belajar tapi memberi peluang membina keyakinan sebagai persediaan menghadapi dunia luar.

Tapi pada masa sama, modul terbabit perlu diperkemas seiring arus moden yang sentiasa berubaha.

Ia bermakna, polisi juga perlu sama jalan dengan perubahan seterusnya tidak mengekang sebarang perubahan apabila diperlukan.

Sekolah digital tidak harus menyisihkan luar bandar bukan saja membantu pelajar yang jauh dari kelengkapan moden di bandar tapi ia membantu komuniti setempat dalam arus pemodenan.

Pendigitalan sekolah bukan saja menjadi milik pelajar malah memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Bagaimanapun, kita perlu mengakui cabaran mengendalikan sekolah digital bestari, antaranya bekalan elektrik yang masih belum sempurna di kawasan luar bandar dan kekurangan guru mesra digital serta juruteknik yang berkemahiran dalam bidang ICT perlu ditambahkan bagi setiap sekolah dalam usaha memastikan kelancaran.

Pembaca harus memahami bahawa konsep sekolah digital tidak sama dengan sekolah berasrama penuh atau institusi yang mementingkan akademik semata-mata.

Seharusnya juga, sekolah digital bukan melahirkan 'influencer' yang sekadar pandai ber'insta' tapi lemah dalam peluasan ilmu.

Ini bermakna sekolah digital bukan hanya menempatkan pelajar pintar tapi memberi peluang sekolah menyediakan proses pembelajaran lebih inovatif dan interaktif.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 2:18pm
d