mutakhir

Banyaknya pil ekstasi !

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS berjaya merampas 1,100 biji pil ekstasi susulan penahanan seorang lelaki di Ulu Tiram di Johor Bahru, Jumaat lalu.

Pada kejadian jam 8.30 malam itu, suspek berusia 60 tahun ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya percaya suspek terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Hasil siasatan lanjut di lokasi itu, kita berjaya merampas 7.5 kilogram (kg) serbuk putih disyaki kafein dan 1,100 biji pil ekstasi.

“Semua rampasan itu dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua kereta iaitu Mercedes-Benz dan Honda Odyssey.

“Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 1:10pm
d